Friday, April 15, 2005
Taqwa Itu Benda Dalaman
Kita perlu ingat bahawa benda-benda lahir itu syariat. Syariat dalam ajaran Islam ialah kulit. Kalau kulit sahaja yang ada, tidak ada isinya maka ia tidak ada erti apa-apa. Contohnya, kalau kita beli buah, kita hendakkan isinya.Katakan kita beli ubi kayu tentu ada kulitnya. Kalau tidak ada kulit, isi mudah rosak, namun yang penting ialah isinya. Dalam Islam ada kulit dan ada isi. Kulit dan isi kena dipertahankan, tetapi keutamaan adalah pada isi.
Syariat adalah rangka. Kalau rangka sahaja yang ada, tidak bernyawa, tidak ada roh, maka tidak ada erti apa-apa. Sebab itu dalam ajaran Islam, makan bangkai itu haram. Sebab makan satu benda yang asalnya sudah tidak ada nyawa. Yang halal itu waktu ada nyawa dan disembelih. Kalau makan kambing yang sudah tidak bernyawa walaupun elok lagi dagingnya, haram hukumnya. Itu sindiran Tuhan.
Kita contohkan dalam ibadah asas, macam sembahyang. Rukuk, sujud dan bacaan-bacaan itu rangka. Kalau hanya badan sahaja yang rukuk, tetapi hati tidak rukuk ertinya kita hanya bawa rangka. Kita hanya bawa rangka yang dalamnya bolong. Kalau badan sahaja yang sujud, hati tidak sujud, ertinya rangka sahaja yang sujud. Sebab itu kadang-kadang dalam meniti di atas syariat pun, dalam melaksanakan ibadah fardhu pun, kita tidak dapat menambah taqwa. Padahal itu ibadah asas. Kalau kita bawa rangka sahaja atau kulit sahaja tetapi tidak membawa roh dan isinya maka ibadah seperti itu tidak akan menambah taqwa.
Taqwa kebanyakannya adalah benda dalaman. Ia bersifat rohaniah, paling tidak ia bersifat maknawiyah. Kalau tidak ada rohaniah, walaupun ibadah cantik, walaupun ia jadi bualan orang sekampung, namun ia hanya bangkai. Sembahyang bangkai, haji bangkai, perjuangan bangkai, pendidikan bangkai, jemaah bangkai, ekonomi bangkai dan kebudayaan pun bangkai. Ianya tidak bernyawa dan tidak bernilai di sisi Tuhan. Padahal itu syariat,namun kalau tidak ada rohnya, ia tidak boleh menambah taqwa.
Apa kata orang? Hebat orang ini, hebat Islam orang ini. Macam-macam syariat dibangunkan. Tetapi isi tidak ada. Manusia melihat syariatnya dibuat, yang sunat pun dibuat. Satu negara kata orang ini hebat, orang ini kuat syariat. Itulah yang kita lihat, tetapi dalamnya kosong, tidak ada isinya. Tuhan berkata ibadah yang dibuat orang itu adalah ibadah bangkai. Manusia lain tidak boleh objek dan tidak boleh komen sebab lahirnya cantik. Tetapi Tuhan pandang yang dalam. Syariat lahir itu dinilai 10% sahaja, yang dalamannya 90%.
Katalah kita hendak membangunkan ekonomi. Tuhan kata bangunkan ekonomi untuk menambah taqwa. Tetapi kita nampak untung. Belum berniaga lagi, di depan kita untung. Mengapa nampak untung bukan taqwa? Sedangkan berniaga bertujuan untuk menambah taqwa. Mengapa kita berniaga hendak menambah untung. Ini salah. Patut kita berniaga niat untuk menambah sifat taqwa. Di setiap perniagaan tambah sedikit sifat taqwa. Kemudian tambah di kebudayaan sedikit, di klinik sedikit, di sekolah sedikit, campur-campur maka banyak jumlahnya.
Jadi sifat taqwa itu banyak berkaitan dengan hal-hal dalaman. Soal syariat lahir hanya 10%, yang dalaman 90%. Senangkah kita hendak berniaga? Hendak bagi nyawa kepada perniagaan kita supaya ia tidak menjadi minimarket bangkai, supermarket bangkai atau hypermarket bangkai. Bukan senang hendak bagi roh pada perniagaan.
Bila dikatakan roh, semua yang terlibat dalam perniagaan tersebut daripada pemimpin-pemimpinnya, pengurus-pengurusnya, petugas-petugasnya, fikiran dan hati-hati mereka mesti sama dan selari. Semua hati-hati orang yang terlibat mesti berkata bahawa buka kedai itu untuk berkhidmat, bukan untuk untung. Moga-moga dari situlah kita dapat menarik orang kepada Islam. Kita dapat berkasih sayang. Kita diterima oleh pelanggan-pelanggan, dapat menolong orang, dapat memberi kemudahan-kemudahan kepada orang. Itu rohnya yang bertapak di hati. Kalau itu yang kita maksudkan dan niatkan, rugi pun seronok. Sebab sampai matlamat dan dapat sifat taqwa. Kalau untung, alhamdulillah. Di dunia lagi sudah dapat balasan. Di Akhirat dapat balasan lagi. Itu yang sebenar.