Thursday, February 03, 2005

 
MUHARAM 1426 H
Muharam Bulan Kemenangan

Muharam datang lagi untuk tahun hijrah 1426. Kedatangan yang sangat ditunggu-tunggu oleh umat Islam terutama para pencinta kebenaran. Kepada mereka yang memperjuangkan kebenaran pula, ia lebih dari mereka menunggu bulan Ramadhan dan bulan Haji. Sebab bulan Muharam bulan keluarnya keputusan periksa yang diambil dari bulan puasa dan bulan haji itu.
Keputusan peperiksaan sama ada menang atau gagal, Allah tetapkan untuk diisytiharkan pada bulan Muharam. Mereka menunggu bulan ini dengan penuh debaran. Menang atau gagal lagi?Ketaqwaan dan disiplin perjuangan adalah faktor penentu tinggi atau rendahnya markah yang Allah berikan. Apakah Allah sudah terima dan iktiraf ketaqwaan dan disiplin perjuangan mereka. Itulah yang mereka tunggukan. Kalau Allah menangkan perjuangan mereka terhadap musuh-musuh mereka, maka itulah tanda mereka lulus. Tapi kalau Allah masih biarkan musuh mereka menyusah-nyusahkan mereka dan menggagalkan program-program mereka, maka tahulah mereka bahawa mereka gagal lagi tahun ini. Terpaksalah ulang atau repeat periksa untuk tahun depan!
Perlu diingat Allah haramkan orang bertaqwa berperang di bulan Muharam, kecuali diundang musuh. Sejarah perjuangan para rasul dan para pemimpin yang memperjuangkan Tuhan dan kebenaranlah yang mengajarkan mereka perihal bagaimana Allah memperlakukan orang-orang-Nya dalam zaman-zaman perjuangan yang digilir-gilirkan kepada masing-masing. Rasulullah SAW hijrah ke Madinah untuk mencari tapak baru Islam, setelah perjuangannya di Mekah dihancurkan. Ia berlaku di bulan Muharram. Bulan inilah dirakam sebagai bermulanya bulan bagi tahun baru Islam.
Orang Tuhan dikira menang kerana sanggup melakukan hijrah ini. Nabi Ibrahim keluar dari api di bulan Muharram. Kapal Nabi Nuh lepas dari banjir besar pada bulan Muharram. Nabi Yunus keluar dari perut ikan bulan Muharram. Nabi Musa terlepas dari cengkaman Firaun pada bulan Muharram. Nabi Yusuf keluar dari penjara dan dilantik menjadi Perdana Menteri Mesir pada bulan Muharram. Itulah di antara contoh-contoh besar dalam sejarah bahawa bilamana sesuatu jemaah itu telah berjaya mendapat taqwa dan disiplin perjuangan yang tinggi selepas ujian yang panjang maka Allah pun beri kemenangan pada bulan Muharram. Jadilah mereka partiAllah.
Ada yang di awal, ada yang di tengah dan ada yang dihujung Muharram kemenangan itu dianugerahkan. Terpulang pada Allahlah yang Maha Mengetahui untuk memilih tanggal Muharram yang mana untuk lakukan kekuasaan-Nya itu. Yang pasti kemenangan besar semuanya pada bulan Muharram. Bulan-bulan lain kalau ada pun berlaku kemenangan hanyalah kemenangan-kemenangan kecil sahaja. Mari kita kaji kehidupan para pejuang yang memilih parti Allah untuk perjuangkan Tuhan dan kebenaran-Nya tanpa mengira apa namanya, mereka menagih kemenangan di Muharram ini. Apa ciri-ciri taqwa dan disiplin atau syarat-syarat yang melayakkan mereka mendapat kemenangan.

1. Kemenangan besar untuk orang Islam yang lakukan pada bulan Muharrram itu sebenarnya hanya berlaku kepada parti yang dipimpin oleh pemimpin yang dilantik sendiri oleh Allah. Yakni para-para nabi dan rasul, para mujaddid serta orang perseorangan seperti Thalut, Zulqarnain, Salehuddin Al Ayubi, Muhammad Al Fateh dan Khulafaur Rasyidin.
2. Pengikut sanggup memberi sepenuh taat setia dan janji sehidup semati dalam perjuangan bersama pemimpin. Contohkan betapa taat setia dan fanatiknya para Sahabat kepada Rasulullah sehingga rela mati syahid untuk itu. Hasilnya ialah Allah telah memenangkan mereka dalam semua peperangan walaupun bilangan dan kekuatan tentera lebih kecil dari musuh. Mereka kalah sekali sahaja bilamana terjadi di medan perang, tidak taat setia mereka pada arahan Rasulullah. Benarlah janji Allah bahawa:“Sesungguhnya kumpulan kecil boleh mengalahkan kumpulan besar dengan izin Allah.”
3. Parti Allah tidak syarat kan duit dan ramai bilangan sebagai syarat kemenangan. Tapi syarat kedua sesudah taqwa ialah kasih sayang dan perpaduan yang terserlah di kalangan ahli. Ikatan kasih sayang dan perpaduan yang jitu adalah modal untuk kemenangan. Manakala perpecahan dan krisis adalah azab, sekalipun banyak duit. Buktinya dalam keluarga kecil saja, kalau nak buat kenduri kahwin, kalau saling memaafkan, meminta maaf, tolong-menolong, kasih mengasihi, pasti kenduri itu akan berjaya, dibandingkan dengan ahli keluarga yang sering bersengketa dan bermasam muka, maka banyaklah masalah yang timbul walaupun masing-masing banyak duit. Mesti diingat perpaduan ini hanyalah boleh dibuat oleh orang yang bertaqwa, yang kerana takutkan Allah sanggup menerima keuzuran orang, merendah diri, berbuat baik kepada orang yang mencabarnya, memaafkan kesalahan orang, meminta maaf bila bersalah, suka memberi hadiah dan menolong, lapang dada, tolak ansur, bergembira dengan kegembiraan orang dan ikut berdukacita di atas kesusahan orang. Perpaduan sebenarnya ikatan hati, bukan dibuat-dibuat secara fizikal dan bukan hasil termakan budi. Itu perpaduan palsu namanya.
4. Parti Allah melalui pemimpin yang ditunjuk Allah, mensyaratkan lagi untuk kekuatan parti, ahli-ahli mestilah mempunyai fikiran dan perasaan yang selaras dan selari. Hal ini bukan senang nak diperolehi kecuali oleh didikan ilmu yang diterima bersama yang boleh mengalahkan minda-minda lain. Juga oleh satu latihan rohaniah yang cukup tajam, yang mampu membariskan para roh dalam satu barisan kerana sudah boleh melawan nafsu dan syaitan yang sangat berusaha untuk memusnahkan perpaduan dan keselarasan jiwa manusia. Hasil membina perpaduan dan keselarasan ini parti Allah akan mempunyai pengikut yang perihal kasih sayang dan keselarasan mereka bolehlah digambarkan bagaikan kasih sayang adik-beradik dalam satu keluarga, dari satu ibu ayah yang mempunyai keluarga yang sangat besar.
5. Rasulullah SAW menggambarkan cara hidup pejuang-pejuang Allah dan kebenaran bagaikan abid yang menangis dan merintih penuh rendah diri dengan Allah di malam hari, manakala siang mereka bertukar menjadi singa yang garang. Malam mereka mabuk cinta dengan Allah lalu membuahkan semangat pengorbanan yang tinggi untuk buktikan cinta pada Allah, dengan berjuang mati-matian di siangnya untuk membangunkan sistem Tuhan demi cinta dan keredhaan pada-Nya. Manusia yang mampu melakukan ini, sebenarnya adalah orang yang telah diproses lama oleh pemimpin luar biasa, yang punya cita-cita luar biasa berbekalkan bekal-bekal yang luar biasa seperti keyakinan yang kental, sabar yang luar biasa, mampu berkorban habis-habisan, azamnya teguh bagaikan besi waja yang tak dapat diganggu gugat oleh ujian dan cabaran. Ketahuilah bahawa yang mempunyai ini hanyalah orang Allah yang Allahlah sumber bagi semua itu.
6. Sifat perjuangan mereka juga unik, jauh beza dari parti-parti lain di dunia ini. Yakni perjuangan mereka mendapat kemenangan di waktu bilangan pengikut tinggal sedikit, bukan di waktu ramai. Allah menimpakan ujian-ujian berat hingga ramai yang tidak tahan, lalu lari tinggalkan perjuangan. Uji demi uji, saring demi saring, tapis demi tapisan, melalui musuh-musuhnya yang kecil dan besar. Akhirnya tinggallah yang sebenar-benarnya orang Allah. Maka untuk mereka Allah lakukan perkara luarbiasa iaitu kemenangan besar tanpa diduga.
7. Kemenangan mereka yang sedikit ini tidak sama sekali berlaku oleh tenaga dan usaha mereka, tapi adalah oleh kuasa Allah. Mereka sendiri terkejut dengan apa yang Allah lakukan untuk mereka. Hingga mereka menyungkur sujud ke hadrat Allah kerana terlalu terima kasih, menyucikan Allah dan istighfar pada-Nya. Mereka dapat kekalkan rasa hamba, rendah diri dan memaafkan musuh-musuhnya pada hari itu. Mereka tidak sombong dan tidak menzalim. Itulah tujuan Allah pun melakukan kemenangan begitu untuk orang-orang-Nya supaya tidak terjadi kepada mereka apa yang terjadi kepada orang-orang yang mendapat kemenangan hasil usaha sendiri. Megah, takabur, sombong dan menzalim di harikemenangan dan sepanjang kekuasaan.

Jika benar kita umat Islam mahu menerima kemenangan sepertimana umat yang terdahulu, maka syarat-syarat di atas kenalah dipenuhi. Bertaubatlah, bersedekahlah, bersembahayang malam, berkasih sayang dan bermaafanlah sesama kita sebagai bukti cinta dan takut pada-Nya. Kemudian berjuanglah sehabis daya, moga-moga Allah tidak mensia-siakan lalu menolong
kita. “Wahai Allah dengarlah hasrat ini dan pohonlah direstu, diberkati hingga ia dapat memberi kesan yang dalam, supaya manusia mahu berubah untuk merebut kemenangan. Tanpa restu dan pertolongan-Mu artikel ini hanya jadi sampah yang tiada berguna. Tolong jadikan ia hidayah dan taufik yang jatuh ke hati-hati manusia,supaya agama-Mu berdaulat semula. Amin”.
Sumber: http://www.rufaqa.com/minda/muharam.asp

This page is powered by Blogger. Isn't yours?