Friday, April 15, 2005

 
Perbezaan Antara Syarat Dan Rukun Taqwa

Untuk mencapai taqwa ada syarat-syaratnya. Syarat itu berbeza dengan rukun. Syarat itu lain, rukun itu lain pula. Syarat itu diluar tetapi rukun itu di dalam. Seperti juga dalam solat atau sembahyang, tutup aurat itu syarat bagi sembahyang. Ia di luar. Membaca surah Al Fatihah itu pula adalah rukun sembahyang. Ia di dalam sembahyang. Kalau dikatakan rukun, maka ia berada di dalam amalan. Kalau syarat, ia berada di luar amalan.

Rukun itu adalah tiang di mana tertegaknya taqwa. Syarat pula adalah perkara-perkara yang perlu ada dan mesti diberi perhatian supaya jalan untuk mencapai taqwa itu menjadi mudah.

Untuk membaiki diri agar menjadi orang yang soleh atau orang yang bertaqwa, ada lapan syarat yang perlu ditempuhi.Ia dinamakan lapan syarat taqwa.

LAPAN SYARAT TAQWA

Syarat-syarat itu adalah seperti berikut:
1. Dapat petunjuk dari Allah (Hidayah)
2. Faham tentang Islam
3.Yakin
4.Melaksanakan
5.Mujahadah
6.Istiqamah beramal
7.Ada pemimpin yang memimpin (mursyid)
8.Berdoa kepada Allah

1.Dapat Petunjuk Dari Allah (Hidayah)

Di sinilah titik tolak atau modal utama ke arah taqwa iaitu mendapat petunjuk atau hidayah. Hidayah datang dari Allah. Allah beri hidayah kepada seseorang dengan cara mengetuk pintu hatinya. Bila seseorang mendapat hidayah, dia senang dengan Islam, sayang dengan Islam, suka dengan Islam, seronok, minat, terhibur dengan Islam dan terbuka hatinya untuk Islam. Sebut saja Islam, dia terasa indah dan seronok. Dia terasa terhibur walaupun dia tidak tahu apa itu Islam. Firman Allah SWT:

'' Famay yuridillahu ayyahdiyahu yashrah sadrahu lil islami''.

Maksudnya:'' Barangsiapa yang Allah kehendaki untuk diberi-Nya petunjuk, maka dilapangkan hatinya untuk menerima Islam.'' ( Al An'am: 125)

Jadi kalau seseorang itu Allah beri hidayah dan Allah buka pintu hatinya hingga dia sayang, suka, minat, terhibur dan seronok dengan Islam, maka inilah anak kunci yang pertama untuk dia bertindak membaiki diri. Tetapi kalau hati sudah tertutup, hidayah tidak dapat, maka rasa senang hati dan suka dengan Islam tidak ada. Walaupun seseorang itu pakar dalam Islam, hafaz Al Quran, hafaz ribuan Hadis sekalipun namun tanpa hidayah, dia tidak akan mahu membaiki diri. Dorongan untuk membaiki diri tidak ada. Minat tidak ada. Hati tidak terbuka ke arah itu.
Rasa minat, cinta dan suka pada Islam, itulah dorongan untuk beramal dan memperbaiki diri. Ibarat orang yang cinta dengan isteri, apa saja kehendak isterinya akan dituruti dan dia rela bersusah payah dan berkorban habis-habisan untuk isterinya hatta nyawanya sekalipun.

Pentingnya Hidayah

Hidayah adalah satu perkara yang sangat berharga kerana dari situlah titik tolak seseorang yang tidak Islam itu masuk Islam. Kemudian dari situ dia berusaha untuk mendapatkan ilmu dan iman serta lain-lain lagi yang ada di dalam ajaran Islam. Untuk seseorang yang memang sudah Islam, akan terbukalah pintu hatinya untuk serius dengan Islam dan berusaha mempelajari ilmu Islam dari sumber Al Quran dan Hadis serta mengamalkannya.

Sesorang yang tidak Islam kalau belum mendapat hidayah ertinya hatinya belum terbuka untuk menerima Islam atau masuk Islam. Begitu jugalah seseorang yang berketurunan Islam, jika hidayah belum dapat ertinya hatinya tidak akan terbuka untuk serius dengan Islam, untuk mengamalkannya dan memperjuangkannya. Setelah berusaha mempelajari dan setelah hati terbuka untuk beramal maka selepas itu mungkin akan mendapat taufiq dari Allah Taala.

Taufiq ertinya apa yang diamalkan itu tepat atau berbetulan dengan kehendak Allah Taala. Maka sempurnalah Islam seseorang itu kerana seluruh amalannya telah bergabung di situ di antara hidayah dengan taufiq. Namun mendapat taufiq pun belum tentu selamat. Walaupun lahiriah dan maknawiyahnya sudah betul tetapi zahiriah dan batiniahnya mungkin belum selesai. Apa yang tersembunyi dalam hati mungkin tidak sama dengan apa yang dizahirkan. Amalan zahir nampak hebat tetapi mungkin dicelahi dengan riyak, ujub, hasad dengki dan sebagainya yang merosakkan amalan. Kalau soal batiniah tidak dijaga, orang yang mendapat taufiq pun boleh terkandas. Inikan pula baru setakat mendapat hidayah. Tanpa tasawuf, ramai tertipu dengan ibadah mereka.

Soal ada kemahuan untuk membuat kebaikan dan mendapat ilmu (hidayah), itu soal lahiriah. Untuk beramal, sama ada untuk berbuat ibadah atau meninggalkan maksiat, itu juga soal lahiriah.Kalaupun ilmu dan amal soleh sudah selari dan amalan tepat atau berbetulan dengan kehendak Allah (taufiq), itu pun masih soal lahiriah. Soal batin atau tasawuf belum diambil kira. Sedangkan amalan yang diterima Tuhan itu mesti cukup syarat lahir dan batinnya.

Walau bagaimanapun, setakat hidayah itu pun sudah merupakan satu anugerah yang sangat berharga dari Allah Taala yang Maha Pemurah, kerana dari hidayahlah pintu hati terbuka untuk menjadi seorang Islam atau bagi seorang Islam pula, terbuka hatinya untuk mempelajari dan mengamalkan ajaran Islam. Oleh kerana hidayah adalah satu benda yang berharga, tidak semua orang boleh mendapatnya atau memperolehinya.

Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?