Friday, April 15, 2005

 

HIDAYAH KENA JAGA

Hidayah merupakan intan berlian maknawi dan rohani. Ia sangat berharga. Sesiapa yang memilikinya dianggap orang kaya dan mulia. Dia dianggap orang kaya Tuhan. Dia telah mendapat banyak kebaikan.

Tetapi perlu diingat, hidayah seperti juga barang berharga yang lain, ia boleh hilang. Oleh itu, ia kenalah dijaga dengan sebaik-baiknya. Barang yang hilang selalunya sukar untuk diperolehi semula. Ada doa yang Allah ajar kepada kita di adalm Al Quran:

''Rabbana la tuzigh qulubana ba'daizhadaitana wahablana milladun karahmatan innaka antal wahhab''.

Maksudnya: "Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau gelincirkan hati-hati kami selepas Engkau memberi kami petunjuk dan kurniakan kami dari sisi-Mu akan rahmat. Sesungguhnya Engkau adalah Maha Pemberi.'' (Ali Imran :8)


Bagaimana Menjaga Hidayah Agar Ia Kekal

1. Kita syukuri akan nikmat hidayah iti. Kita rasakan bahawa ia nikmat dan pemberian yang tidak ternilai.

2. Kita istiqamah mengamalkan syariat dengan tekun serta penuh rasa bimbang kalau-kalau Allah tarik semula hidayah yang telah kita perolehi itu.

3. Kenalah mujahadah selalu dengan penuh sabar terutama di waktu-waktu malas hendak beribadah dan terasa ringan hendak berbuat maksiat.

4. Selalu bergaul dengan kawan-kawan yang baik. Ini sangat membantu kita menjaga syariat dan terasa kuat dengan kawan.

5. Kalau kita ada pemimpin, jangan terlepas dari pimpinannya. Pemimpin sentiasa memberi nasihat, tunjuk ajar dan ilmu.

Sebab-Sebab Hidayah Ditarik Semula

1. Kita derhaka dengan guru yang pernah mengajar kita dan kita lari dari pimpinannya.

2. Derhaka dengan kedua ibu bapa dan kita sia-siakan mereka. Kita biarkan kehidupan mereka tidak terurus dan terjaga. Lebih-lebih lagi kalau mereka marah atau rasa tidak senang dengan kita.

3. Bila jiwa kita terpengaruh dengan dunia. Dengan ibadah sudah tidak seronok dan sudah mula terasa berat. Dengan halal haram sudah tidak diambil kira. Rasa takut dengan Tuhan semakin hilang.

4. Menzalimi orang. Dengan sebab menzalimi orang, rasa takut dengan Tuhan sedikit demi sedikit dicabut. Kemudian jadi cuai dan malas beribadah. Begitulah seterusnya hingga hanyut dalam maksiat.

5. Mula bergaul bebas dengan orang-orang yang tidak menjaga syariat. Kemudian rasa seronok dengan kebebasan itu. Rasa sedap, terlajak dan terus hanyut dalam maksiat dan kemungkaran.

Apabila hidayah ditarik semula, hidup akan terumbang-ambing. Tidak ada disiplin, tidak istiqamah, malas beramal, jinak dan ringan dengan maksiat, jiwa derita dan sengsara walaupun kaya dan berharta.

Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?