Wednesday, April 20, 2005

 
BID'AH

Bid'ah & Klassifikasinya
MENJADI kelaziman, tradisi dalam masyarakat Islam di Malaysia, khususnya apabila mengadakan kenduri akikah, sambutan Maulidur Rasul, perkahwinan dan sebagainya, mereka mengadakan majlis bacaan berzanji, selawat dan rawi. Namun, tidak lama dulu, ada desakan daripada segolongan umat Islam agar amalan ini dimansuhkan kerana dianggap bidaah.
Amalan itu dikatakan tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah saw.Penentangan itu, juga menular dalam amalan harian seperti wirid selepas solat, tahlil, membaca Yasin pada malam Jumaat dan talkin di kubur. Ikhtilaf pendapat ini menimbulkan perselisihan dan persengketaan yang bukan sedikit. Bidaah adalah asal perkataan bahasa Arab yang bermaksud rekaan baru atau nama bagi sesuatu yang baru yang diada-adakan. Sheikh Izuldin bin Abdul Salam dalam Qawaid Ahkam memberi erti seperti berikut: “Bidaah itu adalah satu pekerjaan keagamaan yang tidak dikenali pada zaman Rasulullah”. Imam Al-Syafie mendefinisikan sebagai segala hal yang baru, yang wujud selepas Rasulullah wafat dan Khalifah Ar-Rasyidin.
Ulama fiqh membahagikan bidaah kepada dua pendapat: Pertama, satu cara perbuatan yang diada-adakan dalam urusan yang tidak pernah berlaku pada zaman Rasulullah dengan maksud untuk mendampingkan diri kepada Allah. Hal ini kerana ingin mendapat dan menambahkan pahala. Mereka membahagikan hukum ini kepada dua: Bid'atun Mazmumah/Sayyiatun/Dzholalah.Rekaan baru yang tidak membawa pada sebarang kebaikan pada manusia, bahkan boleh membawa bahaya sama ada dalam soal kehidupan seharian atau peribadatan.
Berdasarkan pendapat kedua ini, yang menjadi pegangan masyarakat Islam yang bermazhab Ahli Sunnah Waljamaah, mereka membahagikan hukum bidaah kepada lima bahagian seperti yang dinukilkan oleh Ibnu Hajrr Al-Ashqalani dalam kitab fatwa baru iaitu:Bid'atun wajibah.Pekerjaan yang masuk dalam perkara wajib dan perintah agama seperti mengumpul dan menyusun mushaf al-Quran.Bid'atun munduwabah.Segala yang mendukung perkara sunat seperti mengerjakan solat terawih berjemaah. Bid'atun mubahat.Segala sesuatu yang menjurus hal yang dibolehkan seperti menaiki kenderaan, makan bermeja dan memakai pakaian berfesyen yang pelbagai tetapi menutup aurat.Bid'atun makruh.Perkara yang membawa kepada makruh seperti banyak melakukan sembahyang sunat rawatib hingga solat wajib tertunda.Bid'atun muharramah.Iaitu sesuatu hal yang menjurus perkara yang haram seperti menziarahi kubur orang mati untuk meminta sesuatu pertolongan atau mengerjakan amalan suluk hingga meninggalkan solat Jumaat.
Mengapa ada umat Islam menentang amalan bidaah? Ini kerana mereka merujuk kepada sebuah hadis Rasulullah bermaksud: “Sesiapa juga mengada-adakan dalam urusan agama kami ini sesuatu pekerjaan (amalan peribadatan) yang tiada daripadanya (yang diadakan) itu tertolak." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda bermaksud: "Adapun kemudian daripada itu, maka sesungguhnya sebenar-benar perkataan itu adalah kitab Allah dan sesungguhnya semulia-mulia petunjuk itu adalah petunjuk Muhammad dan sejahat-jahat perkara itu adalah yang diada-adakan (rekaan baru) dan tiap-tiap yang di adakan itu adalah bidaah dan tiap-tiap bidaah itu sesat dan tiap-tiap kesesatan itu dalam api neraka." (Hadis riwayat Muslim daripada Jabir bin Abdullah)Namun, kita sebagai umat Islam yang berpegang kepada akidah Ahli Sunah Waljamaah dan menganut fahaman mazhab Syafie yang mendominasi majoriti umat Islam di Malaysia, perlu merujuk kepada pendapat beliau mengenai perkara ini.
Imam Syafie seperti yang dinukilkan oleh Imam Al-Baihaqi dalam kitab 'manaqib' Syafie' dalam 'fathulbari' jilid 17 muka 10 menjelaskan: “Pekerjaan ‘bidaah’ itu dua macam: Pekerjaan agama yang bertentangan dengan al-Quran, sunnah Nabi, athara dan ijmak ini dinamakan Bid'ah Dzholalah. “Urusan agama yang baik yang tidak bertentangan dengan salah satu daripada yang tersebut di atas, adalah bidaah juga, tetapi tidak tercela.“Bacaan berzanji adalah tergolong dalam Bid'ah Hasanah. Hal ini kerana dalamnya mengandungi peristiwa dan keperibadian Rasulullah. Dalam setiap bacaan, kita sulami dengan selawat ke atas Nabi. Mudah-mudahan kita tergolong dalam apa yang disabdakan Nabi yang bermaksud: " Barang siapa yang berselawat ke atasku sekali, maka aku akan gandakan sebanyak 10 kali." Generasi hari ini lebih mengenali artis, tetapi tidak untuk menjadikan Rasulullah sebagai ikutan mereka.
Maka, ketika inilah amalan berzanji ini memainkan peranan untuk menjadikan Rasulullah sebagai contoh. Begitu juga membaca wirid selepas solat, bacaan Yasin beramai-ramai atau membaca talkin di kubur. Berapa ramai di kalangan kita yang memperuntukkan masa 10 minit sehari untuk membaca al-Quran atau memuhasabah diri sebelum tidur mengenai hal ehwal mati?Berdasarkan nisbah ia mungkin boleh dihitung dengan jari saja. Untuk menggambarkan kita jarang membaca al-Quran, kita kadang-kala tidak mempunyai penghujung ayat surah al-Qafiruun ketika menghafaz, walaupun ia adalah ayat lazim. Begitu juga dengan hal ehwal mati yang disunatkan untuk selalu mengingatinya. Hal ini kerana ia akan datang menjemput tanpa diundang.
Maka, bacaan talkin di kubur yang begitu menyayukan akan menginsafkan bahawa kita tidak dapat lari daripada dimasukkan ke liang lahad. Oleh itu, kita perlu membuat persediaan secukupnya dari segala amal dan ketakwaan untuk menjadi syafaat ketika berhadapan dengan Allah. ADA beberapa perkara keagamaan yang dilakukan pada zaman Khalifah Ar Rasyidin dan termasuk dalam kategori Bid'ah Hasanah. Antaranya: Membukukan al-Quran yang dilakukan pada zaman Saidina Abu Bakar Al-Siddiq. Melakukan solat Tarawih berjemaah yang diperintahkan oleh Saidina Umar Al-Qhattab. Mengadakan azan pertama dalam solat Jumaat yang diperintahkan oleh Saidina Othman.Jika seseorang Khalifah Ar Rasyidin memerintahkan sesuatu amal ibadat, maka sewajarnya kita mengikuti dan mengamalkannya. Hal ini kerana apa yang datang daripada mereka hakikatnya daripada Rasulullah saw.
Perkara ini disebabkan mereka adalah orang yang hampir, mendengar dan melihat sesuatu pada diri Baginda. Sabda Baginda bermaksud: “Maka wajib atasmu memegang sunnahku dan sunnah Khalifah Ar Rasyidin yang diberi hidayah.” (Hadis riwayat Abu Daud)Contohnya, rasional mengadakan azan pertama dalam solat Jumaat untuk memudahkan umat Islam membuat persediaan yang rapi untuk menunaikan solat Jumaat. Perkara ini kerana ada umat Islam yang datang ke masjid hanya memenuhi tanggungjawab solat Jumaat tanpa mendengar khutbahnya. Ada yang ketika khatib berkhutbah, masih berkeliaran di luar masjid kerana berjual beli atau menikmati juadah untuk mengalas perut.Kita sebagai masyarakat awam hendaklah berpegang dengan fahaman majoriti iaitu bermazhab Al-Syafie. Tidak salah berfahaman lain, tetapi perlu ada dasar dan dalil yang kukuh untuk berpegang dengannya.Selain itu, menjadi kesalahan dan melanggar etika, mereka yang berdakwah dalam masyarakat yang berfahaman lain.
Contohnya, jika seseorang mengatakan amalan berzanji itu Bid'ah Dzhalalah dalam sebuah kampung yang majoritinya bermazhab Syafie, kita amat pasti ia akan dipulaukan masyarakat setempat, malah mungkin disingkirkan dari kampung itu.Sikap tegas dalam menangani syirik dan khurafat dalam masyarakat adalah masalah yang disepakati ulama dan sesuatu yang wajar. Tetapi, dalam permasalahan khilaf di kalangan ulama, ia memerlukan penglihatan terperinci dan saling hormat-menghormati. Hal ini agar ia tidak merosakkan perpaduan dan persaudaraan Islam kerana itulah sikap yang diambil ulama dari dulu lagi.Oleh itu, kita perlu mengutamakan etika dan akhlak daripada emosi apabila berselisih pendapat seperti yang berlaku pada zaman Rasulullah. Apabila sahabat berbeza pendapat, mereka menggunakan pendekatan takwa serta menjauhi daripada emosi dan runtunan hawa nafsu.
Di samping itu, kita perlu bersikap sederhana dalam apa juga pandangan dan meninggalkan sikap taksub dalam beragama. Hal ini kerana ia menjadi faktor penting bagi mencapai kesatuan dan perpaduan sesama insan.Sikap bekerjasama, bertolak-ansur dan tidak fanatik kepada sesuatu pendapat perlu menjadi teras agar budaya kafir-mengkafir, fasik-memfasik, gelaran ahli bidaah atau ungkapan lain tidak akan berlaku dalam masyarakat.Mudah-mudahan amalan Bid'ah Hasanah yang kita lakukan selama ini akan mendapat ganjaran sebaiknya daripada Allah. Ia seperti hadis Rasulullah yang menjadi hujah Imam Syafie apabila membicarakan persoalan bidaah yang bermaksud: “Barang siapa yang mengadakan dalam Islam Sunnatun Hasanah, maka diamalkan orang lain kemudian sunnahnya itu diberikan pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya, kemudian dengan tidak mengurangkan sedikit pun daripada pahala orang mengerjakannya kemudian. “Dan barang siapa yang mengadakan dalam Islam Sunatun Sai'ah, maka diamalkan orang kemudian sunnah buruknya itu, diberikan kepadanya dosa seperti dosa orang yang mengerjakan kemudiannya dengan tidak mengurangi sedikit pun daripada dosa orang yang mengerjakan kemudian itu. “ (Hadis riwayat Muslim.)Hayati juga firman Allah bermaksud: “Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah (dengan sebab persediaannya), maka dialah yang beroleh petunjuk, dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan sebab keingkarannya), maka dialah orang yang rugi." (Surah al-A’raaf, ayat 178).
Sumber: Laman web Jabatan Agama Islam Selangor
PETIKAN: BERITA HARIAN 15 DAN 16 FEBRUARI 2005

Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?