Wednesday, January 26, 2005
Sekelumit Bicara Tentang Taqwa
Moga pertemuan kita ini bukan sia-sia. Moga ada manfaatnya untuk kita di dunia. Lebih-lebih lagilah di Akhirat. Sesuai dengan maksud firman Tuhan: “Hendaklah kamu membawa bekal (di akhirat nanti) dan sesungguhnya sebaik-baik bekal ialah bekalan taqwa.”
Bercakap mengenai ayat di atas, terpanggil saya untuk menyentuh sedikit tentangnya. Bagaimana dalam bertemu-temu atau dalam keadaan bersembang-sembang boleh menjadikan ia sebagai bekalan taqwa. Secara ringkas, bila bertemu atau sembang-sembang atas kerana Tuhan, insyaAllah, itulah bekalan taqwa. Tapi kalau bertemu sekadar untuk dunia, ada terselit kepentingan diri pula dan tidak sertakan Tuhan, susahlah ianya nak menjadi bekalan taqwa. Jadilah ia sia-sia sahaja, kosong, tidak ada apa-apa nilai di sisi Tuhan.
Bila sebut “atas kerana Tuhan”, sudah pasti ada syariatNya yang perlu diikuti. Bukan sekadar niat untuk Tuhan kemudian boleh mudah-mudah dapat bekalan taqwa. Tapi, kena ikut kaedah yang Tuhan mahu. Ada syarat-syaratnya. Dan syarat-syarat itu bukan setakat syarat lahir sahaja. Malah ada juga syarat-syarat batinnya. Semua ini takkan kita dapat kalau tidak didasarkan dengan ilmu. Dengan ilmulah, kita boleh dapat semua ini. Ilmu yang bagaimana? Bukan ilmu sembarangan, tetapi itulah dia ilmu hikmah. Ilmu hikmah ini adalah ilmu di dalam ilmu. Ia hanya diberikan kepada ahli hikmah. Ahli hikmahlah yang dapat ilmu seperti ini dan diturunkan pula kepada yang mahu menerimanya. Siapa ahli hikmah ini? Al-Quran ada menerangkan orang seperti ini.
“Barangsiapa yang diberi ilmu hikmah, dia diberi sesuatu yang banyak”. (Al-Baqarah: 269)
Dalam ayat lain pula, Allah minta kita merujuk kepada orang seperti ini:
“Bertanyalah (tentang berbagai ilmu) kepada ahli zikir (ahli hikmah) jika kamu tidak mengetahui”. (An-Nahl:43)
Jadi, kesimpulannya, “point-point” penting yang nak disebutkan di sini ada empat:
1.Apa sahaja kita lakukan mesti dikaitkan dengan bekalan taqwa.
2.Nak faham tentang bekalan taqwa dan syarat-syaratnya, kena ada ilmu.
3.Ilmu bukan sembarangan ilmu tetapi mestilah ilmu hikmah.
4.Nak dapatkan ilmu hikmah, kena belajar dengan ahli hikmah atau ahli zikir.
Begitulah secara lebih kurang, panduan untuk kita. Moga dengan catatan ringkas ini, kita mendapat ilmu.