Tuesday, January 04, 2005
ORANG YANG MENDAPAT PIMPINAN DAN PETUNJUK ALLAH SWT
Di sini saya akan memperkatakan jalan-jalan bagi manusia mengetahui keaipan dirinya. Dengan kita dapat mengetahui keaipan pada diri kita, dapatlah kita berikhtiar memperbaikinya atau berikhtiar untuk membuat perubahan.
Allah swt., kalau dia menghendaki seseorang itu menjadi baik atau menjadi orang soleh, Allah sentiasa akan memimpin dia supaya dapat mengetahui keaipan dirinya, samada keaipan yang lahir mahu pun keaipan yang batin. Ini tanda orang yang mendapat pimpinan dan petunjuk dari Allah swt. Dia akan sentiasa didorong untuk melakukan kebaikan dan taat kepada Allah swt.
Kalau orang itu Allah kehendaki menjadi orang yang jahat serta yang durhaka kepada Allah, maka Allah tidak pimpin orang itu untuk dapat mengetahui kejahatan serta keaipan dirinya walaupun dia sentiasa membuat jahat, samada yang lahirnya atau yang batinnya. Dia tidak didorong oleh Allah swt untuk mengetahui kecacatan dan keaipan yang berlaku pada dirinya. Ini tanda orang yang tidak mendapat pimpinan dan petunjuk dari Allah swt.
Kalau orang yang Allah pimpin supaya sentiasa dapat melihat kecacatan dan keaipan yang berlaku pada dirinya, maka mudahlah dia membuat pembaikan dirinya samada pembaikan yang lahir mahu pun yang batin. Dan mudah pulalah dia mengusahakan rawatan-rawatan yang sesuai untuk mengubat jiwanya yang sudah rosak atau akhlaknya yang cacat itu.
Kalau seseorang itu Allah tidak pimpin dan tidak memberinya petunjuk, dia tidak akan dapat melihat keaipan dan kecacatan pada dirinya walau pun dia bergelumang dengan dosa samada yang lahir mahupun yang batin. Walaupun dia sentiasa durhaka serta engkar dan mungkar kepada Allah, namun dia tidak sedar yang dia membuat durhaka, engkar dan mungkar kepada Allah. Apabila dia tidak sedar yang dia membuat durhaka kepada Allah swt, maka tidaklah ada usaha darinya untuk membuat pembaikan diri. Akhirnya dia terus dengan perbuatan-perbuatan jahatnya hingga mati.
Orang yang mendapat pimpinan dan petunjuk (taufik dan hidayah) dari Allah swt atau sebaliknya, mesti ada sebab-sebabnya. Ertinya, ada sebab mengapa seseorang itu boleh mendapat pimpinan dan petunjuk dari Allah dan juga ada sebab mengapa seseorang itu tidak mendapat pimpinan dan petunjuk dari Allah. Sesungguhnya, Allah swt tidak menginaya diri seseorang itu. Tetapi orang itulah yang menginaya dirinya sendiri. Firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tidak menzalimi seseorang manusia itu tetapi manusia itulah yang menzalimi dirinya sendiri.”
Orang yang tidak mendapat pimpinan dan petunjuk dari Allah swt itu mungkin ada sebab-sebab yang tertentu. Mungkin dia ada melakukan satu kesalahan yang besar menyebabkan Allah tersangat marah. Kesalahan itu menjadi hijab atau dinding untuknya mendapat petunjuk dari Allah swt. Walau pun boleh jadi ada ketika-ketikanya dia mendapat petunjuk atau berada di dalam petunjuk, tetapi manakala dia melakukan satu kesalahan yang begitu besar di sisi Allah, akhirnya Allah tidak memberi dia petunjuk sampai ke hujung. Dia berpatah balik ke belakang.
Begitu jugalah dengan orang yang mendapat pimpinan dan petunjuk dari Allah, mungkin ada sebab-sebab yang tertentu. Mungkin dia ada melakukan satu perkara yang pada sisi Allah, adalah satu kebaikan yang besar. Atas sebab itu, di penghujung umurnya Allah beri dia petunjuk. Kerana itu, perkara-perkara seperti inilah yang mesti kita perhatikan kepada diri kita bukan kepada orang lain. Di antara sebab-sebab seseorang itu boleh mendapat petunjuk dan hidayah dari Allah, walau pun dia orang yang sesat pada mulanya, dia boleh jadi orang yang begitu taat kepada ayah dan ibunya. Dia sangat kasih dan sangat membela kedua ibu bapanya. Orang yang seperti ini, di penghujung hidupnya nanti, Allah akan beri dia taufik dan hidayah. Hal seperti ini memang sudah berlaku di dalam sejarah.
Begitu juga, seseorang itu sentiasa hidup di dalam kedurhakaan serta sentiasa bergelumang dengan kejahatan, tetapi dia sentiasa menghormati para alim ulama, tuan-tuan guru dan sebagainya. Orang yang semacam ini, di penghujung hayatnya nanti, Allah beri dia petunjuk dan hidayah. Ada juga seseorang itu terus menerus tidak mendapat petunjuk dan hidayah atau boleh jadi mendapat petunjuk pada awalnya tetapi di penghujungnya Allah tarik balik petunjuk itu. Hal ini boleh berlaku jika dia terlalu banyak salah silapnya dengan manusia. Dosanya dengan manusia terlalu banyak dan tidak berampun. Harus kita ingat bahawa dosa kita sesama manusia tidak akan selesai kalau sekiranya kita tidak minta maaf dengannya. Contohnya, dosa kita berbentuk umpatan, fitnah, mengkafirkan atau kita munafikkan dia atau kita hina dia dan sebagainya. Dosa-dosa ini adalah terlalu besar yang kadang-kadang menghijab atau mendinding kita dari petunjuk Allah swt.
Perlu kita sedar, perbuatan mengumpat ini adalah amat besar dosanya. Bagi setengan-setengah ulama, mereka mengatakan bahawa dosa mengumpat adalah lebih besar dari dosa zina. Sedangkan perkara inilah yang ramai sekali orang tidak menyedarinya. Mengumpat sudah menjadi kelaziman di hari ini. Setiap hari kita membacanya di dalam akhbar-akhbar atau internet hingga kita pun ikut menjadi tukang umpat. Di dalam akhbar atau internet menceritakan kisah orang besar, orang kecil, orang itu dan orang ini. Adapun menceritakan suatu keaipan pada diri seseorang yang memang sebenarnya dia lakukan, itulah yang sebenarnya mengumpat. Kalau kita ceritakan hal seseorang itu yang dia tidak lakukan, maka itu dinamakan memfitnah. Lebih berat lagi dosanya.
“Memfitnah itu lebih besar dosanya daripada membunuh”
Sebab itu hendaklah kita jaga benar-benar percakapan kita ini kerana mudah sangat kita terjebak dengan percakapan mengumpat atau memfitnah. Kadang-kadang dosa dari kejahatan yang dilakukan oleh seseorang itu adalah kecil tetapi dosa kita mengumpat itu adalah lebih besar. Dosa-dosa seperti inilah yang kadangkalanya menghijab kita dari petunjuk Allah swt. Orang yang hidupnya penuh bergelumang dengan dosa pada mulanya tetapi di penghujung hayatnya dia mendapat petunjuk dari Allah swt kerana ada perbuatan baik yang dipandang besar oleh Allah swt seperti taat kepada ibu dan bapa atau dia sentiasa menghormati tok-tok alim ulama, tuan-tuan guru dan sebagainya. Selain dari itu, boleh jadi juga seorang itu jahat tetapi kejahatannya dengan Allah sahaja. Dia tidak pernah jahat dengan manusia seperti dia tidak mengumpat, kata mengata, membuat fitnah dan sebaganya. Dia tidak cacat dengan manusia, cuma boleh jadi dia tidak sembahyang, tidak berpuasa, tidak naik haji walau pun sudah cukup syarat dan kesalahan-kesalahan yang seumpama itu.
Dengan adanya petunjuk dan pimpinan dari Allah swt pada diri seseorang itu, dia akan dapat mengatahui kecacatan dan keaipan dirinya yang kemudian bolehlah dia membuat perubahan. Kalau seseorang itu tidak mendapat pimpinan dan petunjuk dari Allah swt, dia tidak akan mengatahui kecacatan dirinya hingga dia terus menerus hidup dalam kedurhakaan kepada Allah swt sampai mati. Inilah yang lazim berlaku pada umum manusia. Kita lebih pakar dalam mengetahui kejahatan orang lain daripada mengatahui kejahatan diri sendiri. Kerana itu, manusia ini sentiasa bersikap sepertimana kata pepatah melayu. ‘Kuman di seberang laut nampak tetapi gajah di depan mata tak nampak’.
Bagaimana seseorang itu hendak mengatahui kecacatan dan keaipan pada dirinya? Di dalam kitab Mauizatul Mukminin karangan Imam Ghazali rahimahullahu ta’ala, dikatakan ada 4 jalan bagaimana kita boleh mengetahui keaipan diri kita. Jalan yang pertama ialah dengan seseorang itu duduk berhadapan dengan guru yang dapat mengetahui keaipan dan kecacatan dirinya yang tersembunyi. Kemudian, dia dapat mengikuti syarahan dan nasihat gurunya itu dalam dia bermujahadah.
Orang yang hendak mengetahui keaipan dan kecacatan dirinya mesti mencari seorang guru yang pakar serta yang mempunyai pandangan tembus. Guru seperti ini ialah guru yang soleh dan yang berakhlak. Orang itu mesti berdamping selalu dengan gurunya itu hingga kecacatan dirinya samada yang lahir mahu pun yang batin dapat dilihat oleh gurunya tadi. Dari situ, gurunya nanti akan dapat memimpin dia daripada satu peringkat ke satu peringkat.
Tetapi yang malangnya bagi kita di akhir zaman ini, guru yang soleh serta yang berpandangan tembus yang hatinya selalu hampir dengan Allah swt amat payah hendak kita dapati. Guru seperti ini adalah guru yang digambarkan oleh Rasulullah saw di dalam hadisnya yang bermaksud:
“Hendaklah kau takut tentang firasat seorang mukmin itu. Kalau dia melihat, dia melihat dari cahaya Allah.”
Maksudnya, seorang mukmin itu, kalau dia melihat sesuatu, dia dipimpin oleh Allah hingga pandangannya tepat, gerak hatinya atau rasa hatinya tepat serta apa yang difikirkannya tepat. Guru yang mukmin semacam inilah yang susah hendak kita cari pada masa ini. Tetapi yang banyak kita temui ialah sepertimana kata Rasulullah saw, guru-guru yang menjadi tukang-tukang syarah saja tetapi tidak mursyid.
Guru-guru yang mursyid ialah guru yang mempunyai pandangan tembus melalui firasat, kalau pun tidak melalui mukasyafah. Seandainya seorang itu mukasyafah, Allah benar-benar membuka pintu hatinya hingga dia boleh nampak sikap dan perangai orang yang dihadapannya. Umpamanya, kalau orang itu bersifat macam ular, dia benar-benar nampak ular di hadapannya. Dengan demikian, mudah sekali dia membuat pembaikan ke atas orang itu. Begitu juga, kalau orang di depannya musang, dia akan benar-benar melihat musang di hadapannya. Bertolak dari situ, dia berusaha membaiki orang itu. Cuma dia tidak boleh beritahu pada sesiapa pun walau orang di depannya itu. Ini adalah rahsia dari Allah yang Allah berikan kepada seseorang itu. Kalau ia dipersia-siakan dengan menceritakan kepada orang lain, boleh jadi Allah akan tarik balik pemberian itu.
Orang yang mukasyafah seperti ini tidak mudah ditemui pada hari ini. Tetapi agak rendah sedikit dari taraf mukasyafah itu boleh berlaku. Peringkat ini ialah peringkat firasat yang boleh melalui gerak hati. Selalunya, gerak hati orang itu adalah tepat dan benar. Umpamanya, kalau hatinya merasa bahawa orang di hadapannya itu seorang pencuri, memanglah benar yang orang itu pencuri. Orang yang mempunyai firasat seperti inilah yang digambarkan oleh Rasulullah di dalam hadisnya di atas. Malangnya, bagi kita ini, taraf mukasyafah pun tidak ada dan taraf firasat pun tidak ada. Yang ada hanya taraf psikologi yang mana ia tidak dipakai kerana ia merupakan falsafah orang barat. Sebab itulah, hendak mencari guru yang boleh mendidik diri kita adalah amat susah di hari ini. Kalau kita tidak mengaji pula, tidak boleh juga kerana yang demikian langsung kita tidak tahu. Akibatnya boleh membawa kita kepada jalan kesesatan selama-lamanya. Jadi, terpaksalah kita mencari guru-guru yang agak berpatutan dan kemudian kita usahakanlah untuk membaiki diri sendiri dengan ilmu yang kita perolehi.
Kalau kita lihat di dalam sejarah, guru-guru mursyid ini, ketika dia menyampaikan pengajian kepada anak-anak muridnya, perkara-perkara yang menjadi persoalan asas seperti rukum iman yang enam dan rukun Islam yang lima, akan disampaikannya secara menyeluruh kepada semua orang. Perkara-perkara amalan utama atau fadhailul ‘amal, tidak akan sama disampaikannya. Ini akan diberinya mengikut pandangan tembusnya terhadap murid-muridnya. Umpamanya seorang anak muridnya mempuanyai sifat ego. Dia akan memberi anak muridnya itu wirid-wirid tertentu yang akan melawan egonya itu. Kemudian seorang murid lain bersifat bakhil. Dia akan memberi muridnya itu satu bentuk wirid lain untuk mengikis sifat bakhil itu. Begitu juga, seorang murid lain pula didapatinya mempunyai sifat penakut. Nanti dia akan memberikan bacaan-bacaan tertentu untuk mengubat penyakit itu. Begitulah seterusnya, tok guru itu menyampaikan ilmunya kepada setiap individu tentang perkara yang menjadi amalan-amalan utama.
Kita perhatian bagaimana Rasulullah saw mendidik para-para sahabat dalam memberikan fadhailul amal atau wirid-wirid tertentu. Dari seorang sahabat kepada seorang sahabat, ianya tidak sama. Saya coretkan sedikit di sini kesah hidup anakanda beliau Siti Fatimah bersama suaminya Saidina Ali. Siti Fatimah, sejak ditinggalkan oleh ibunya Siti Khatijah, hidupnya adalah dalam kemiskinan kerana Rasulullah habis mengorbankan semua hartanya. Memang demikian Rasulullah hendak mendidik anaknya supaya zuhud. Kemudian apabila dewasa, Rasulullah mengahwinkannya pula dengan Saidina Ali, sepupunya, yang mana Saidina Ali itu adalah seorang yang miskin juga. Pendek kata, miskin sama miskin, akhirnya menjadi papa kedana. Begitu melarat sekali kehidupan kedua suami isteri itu. Siti Fatimah sendiri terpaksa berhempas pulas mengatur urusan-urusan rumahtangganya yang di antaranya mengambil air di perigi pun sampai terpaksa berulang alik ke rumah sejarak 2 batu. Kerja-kerja melayan anak-anaknya juga dibuat sendiri, kerana Saidina Ali suaminya kalau keluar rumah samada berdakwah atau pergi ke medan perang, berbulan-bulan atau berminggu-minggu barulah balik.
Kerana tekanan hidup yang begitu payah, maka suatu hari berbincanglah kedua suami isteri itu untuk mengadu kepada Rasulullah saw. Siti Fatimah ingin memohon belas dari ayahnya Rasulullah memberikan kepadanya seorang hamba tawanan perang untuk menjadi pembantu dalam urusan mengendalikan rumahtangganya. Kerana pada ketika itu adalah di awal Islam dalam mana Rasulullah banyak memperolehi harta-harta rampasan perang termasuk hamba-hamba sahaya yang ditawan. Kedua-duanya pun mengadukanlah kesusahan hidup yang meraka alami dan memohon agar Rasulullah dapat memberikan kepada mereka berdua seorang hamba sahaya untuk membantu meringankan sedikit bebanan hidup mereka.
Rasulullah saw begitu mengatahui hal keadaan anaknya dan menantunya. Al Maklum, itulah satu-satunya sahaja anaknya yang tinggal. Maka berkatalah Rasulullah saw kepada kedua anaknya itu yang diantara katanya lebih kurang bermaksud; “Wahai anakandaku berdua. Penderitaan yang kamu tanggung itu yang sebenarnya hati kamu yang merasa menderita. Dan setiap kesusahan yang kamu alami itu adalah kerana hati kamu yang merasa susah. Oleh kerana itu, sukakah kamu berdua, aku berikan satu perkara yang lebih baik daripada apa yang kamu minta.
Mendengar jawapan Rasulullah itu, kedua-duanya begitu gembira sekali kerana baginda hendak memberi mereka perkara yang lebih baik dari yang diminta. Rasulullah saw bukannya memberi anakandanya benda lahir tetapi ialah zikir-zikir untuk dijadikan zikir dan amalan tetap. Kata Rasulullah kepada anakanda keduanya itu yang bermaksud lebih kurang, “Wahai Ali dan Siti Fatimah, perkara yang lebih baik daripada yang engkau berdua minta yang hendak aku berikan kepada kamu ialah, menjelang kamu tidur pada tiap-tiap malam hendaklah kamu baca “Subhanallah….. Subhanallah sebanyak 33 kali, Alhamdulillah… Alhamdulillah sebanyak 33 kali dan Allahu Akbar…… Allahu Akbar sebanyak 33 kali. Hendaklah engkau amalkan ini sungguh-sungguh.”
Akhirnya kedua orang anaknya itu baliklah ke rumah. Tidak berapa lama kemudian datanglah keduanya sekali lagi menemui Rasulullah dan berkata, “Wahai ayahanda, kami telah berpuas hati dengan amalan yang ayahanda telah berikan kepada kami dahulu. Sekarang kami tidak lagi merasakan kesusahan penderitaan hidup ini. Hati kami sudah tenang. Cukuplah hidup kami sepertimana selama ini dan kami tidak mahu meminta apa-apa lagi dari ayahanda.”
Dengan penjelasan ini, rupa-rupanya dengan membaca Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahu Akbar sebanyak 33 kali sebelum tidur, boleh mengubat hati yang susah. Jadi Rasulullah itu mengubat hati. Rasulullah saw tahu bahawa penyakit yang sebenarnya ialah hati yang masih ingat dengan mata benda. Apabila benda yang diinginkan tidak dapat, maka hati akan menderita dengan benda yang tidak diperolehi itu. Sebab itu, yang menderita kerana miskin itu ialah hati kerana hati hendak benda-benda. Jadi Rasulullah mengubat hati itu dengan memberikan kalimah-kalimah tersebut. Rupa-rupanya, amalan itu telah memberi kesan kepada jiwa kedua orang suami isteri itu.
Begitulah cara Rasulullah mendidik anak muridnya ketika memberi wirid-wirid tertentu untuk dijadikan amalan bagi mengubat hati. Seterusnya dengan sahabat-sahabat yang lain, lain pula caranya. Setiap zikir yang diberi oleh Rasulullah kepada para sahabat, benar-benar berkesan kepada hati mereka hingga benar-benar penyakit hati mereka terubat. Seperti Saidina Ali dan Siti Fatimah, mereka dapat benar-benar merasakan yang kalimah itu mengubat hati mereka hingga kesusahan tidak lagi dirasai susah, malah kesusahan itu menghibur hati mereka. Ini adalah kerana, mereka ungguh-sungguh mengamalkan kalimah Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar itu serta dirasakan sungguh-sungguh.
Jalan yang kedua yang boleh kita tempoh untuk mengetahui kecacatan dan keaipan diri kita ialah dengan mencari seorang sahabat. Adapun seorang sahabat yang sebenarnya ialah sahabat yang beragama lagi soleh fdan bertaqwa. Dia bersifat benar dalam serba serbi, benar akidahnya, benar percakapannya, benar perbuatannya dan sebagainya. Sahabat seperti ini hendaklah kita damping selalu. Kita makan minum bersama-samanya, kita bergaul bersama-samanya, tidur baring bersamanya, berjalan-jalan bersamanya dan seterusnya.
Seorang sahabat seperti ini, dia tidak mengajar sahaja dan sebab itu tidak boleh kita panggil guru. Namun sikapnya samalah seperti seorang guru kerana kesolehannya, ketaqwaannya, akhlaknya dan sebagainya. Betapa tidaknya, kalau kita membuat kesalahan dan kesilapan, dia akan memperlihatkan kepada kita dengan penuh kasih sayang serta dengan penuh hikmah dalam keadaan empat biji mata. Dia boleh berbuat demikian kerana dia akan sayang diri orang lain macam dia menyayangi dirinya sendiri. Seorang sahabat yang benar-benar, dia akan memiliki sifat ini iaitu sifat yang menjadi pakaian kepada mukmin yang sejati sepertimana sabda Rasulullah yang bermaksud:
“Tidak sempurna iman seseorang kamu itu hingga dia mencintai saudaranya seperti dia mencintai dirinya sendiri.”
Seorang sahabat yang benar, yang lurus dan yang mempunyai pandangan tembus juga, dia tidak akan merasa senang atau resah gelisah terhadap apa yang berlaku pada diri sahabatnya yang lain sepertimana tidak senangnya dia terhadap apa yang berlaku pada dirinya. Kalau sahabatnya berdosa, dia merasa seolah-olah macam dia berdosa. Begitu juga, kalau sahabatnya itu mendapat kesenangan, dia merasa senang hati.
Di samping itu, kalau kita ada membuat salah silap atau menipu, dia akan datang kepada kita untuk memberitahu tentang salah silap kita itu. Dengan demikian, tahulah kita akan kecacatan-kecacatan diri kita dan senanglah kita memperbaikinya. Daripada seorang sahabat yang sebenar-benarnya, kita juga boleh mengetahui kecacatan dan keaipan kita sepertimana kita dapat mengetahuinya melalui berguru.
Sikap seorang sahabat seperti yang saya huraikan tadi memang ditunjukkan oleh para-para sahabat Rasulullah, orang-orang soleh dan para-para pemimpin zaman dahulu. Umpamanya Saidina Umar, seorang tokoh Islam yang ulung Khalifah Islam yang kedua selepas Saidina Abu Bakar dan seorang mukmin yang amat keras mempertahankan kebenaran, tegas dalam berpegang kepada hukum hakam serta sangat kuat memisahkan di antara yang hak dengan yang batil, dia juga telah memperlihatkan sikap mencari seorang sahabat yang dapat menyuluh kecacatan dirinya. Sebab itu, di dalam kitab-kitab ada diriwayatkan kata-kata Saidina Umar yang bermaksud; “Moga-moga Allah swt dapat merahmati seseorang yang telah dapat menunjukkan kesalahan-kesalahan aku.”
Demikian saidina Umar, salah seorang daripada khulafa-ar-Rusyidin yang empat iaitu Abu Bakar, Umar, Osman dan Ali. Pegangan ahli Sunnah wal jamaah menerima mereka ini sebagai khalifah yang hak seperti yang disabdakan oleh Rasulullah saw maksudnya:
“Hendaklah kamu mengikut perjalanan aku dan perjalanan Khulafa-ar Rusyidin yang dapat memberi petunjuk.”
Khulafa-ar-Rusyidin yang dimaksudkan oleh Rasulullah di atas ialah ke empat-empat khalifah tadi iaitu Abu Bakar, Umar, Osman dan Ali. Ahli Sunnah wal Jamaah menerima mereka ini kecuali kaum-kaum Syiah sahaja yang menolak tiga daripada mereka iaitu Abu Bakar, Umar dan Osman. Kaum Syiah tidak menerima mereka ini sebagai Khulafa-ar-Rusyidin tetapi hanya menerima Saidina Ali sahaja.
Saidina Umar yang begitu besar kedudukannya pun, dia begitu gembira kalau ada sahabat-sahabat yang dapat menunjukkan kepadanya kecacatan dirinya. Di antara sahabat Rasulullah yang menjadi tempat Saidina Umar bertanyakan tentang sifat-sifat kecacatan pada dirinya ialah Abu Huzaifah ra. Adapun Abu Huzaifah ini adalah seorang sahabat Rasulullah yang ulung juga. Kelebihannya ialah, dia mempunyai pandangan tembus serta boleh membaca hati orang. Dia juga boleh menyingkap hal-hal yang berlaku di akhir zaman. Sebab itulah, apabila dia bertanyakan sesuatu dari Rasulullah saw, pertanyaan ialah hal-hal yang berlaku di akhir zaman. Hasil dari itu, kalau kita tengok dalam kitab-kitab hadis, kebanyakan hadis-hadis akhir zaman adalah dari riwayat Abu Huzaifah, kerana Abu Huzaifah dapat melihat apa yang akan berlaku di akhir zaman yang pada zaman Rasulullah, perkara itu tidak berlaku.
Dari segi lahirnya, Saidina Umar adalah lebih tinggi kedudukannya daripada Abu Huzaifah, namun Saidina Umar diriwayatkan pernah bertanya Abu Huzaifah kerana bimbang dan takutnya, kalau-kalau ada sifat-sifat munafik dalam dirinya. Kata Saidina Umar, “Wahai Abu Huzaifah, Engkau adalah memiliki rahsia-rahsia Rasulullah saw. Adakah engkau melihat pada diri aku ini, bekas-bekas sifat munafik.” Begitu sekali, Saidina Umar menunjukkan sikapnya dalam hendak mengetahui kecacatan-kecacatan yang ada pada dirinya. Padahal Saidina Umar itu sendiri adalah seorang yang penuh taqwa lagi soleh yang dia sendirinya mempunyai pandangan tembus. Kerana ketaqwaan Saidina Umar itu sendiri, syaitan-syaitan pun takut dengannya.
Rasulullah saw pernah mengatakan betapa takutnya syaitan kepada Saidina Umar, jangankan hendak menggodanya, malah hendak melalui jalan yang pernah ditempoh oleh Saidina Umar pun Syaitan takut. Begitu sekali tingginya taraf keimanan Saidina Umar. Di dalam satu riwayat lain, Rasulullah pernah menggambarkan ketinggian iman Saidina Umar dengan mengatakan betapa, kalaulah ada Nabi selepas dari baginda, maka Saidina Umarlah. Tetapi, oleh kerana Rasulullah itu penamat segala nabi dan Rasul, maka tidaklah berlaku.
Walau bagaimana tinggi sekali sanjungan Rasulullah saw kepada Saidina Umar malah beliau adalah di antara sahabat-sahabat yang dijamin syurga oleh Rasulullah waktu hidupnya lagi, dia tetap takut dengan dirinya, bimbang kalau-kalau ada sifat-sifat munafik. Kalaulah Saidina Umar yang begitu hebat pun takut akan berlakunya sifat-sifat munafik itu dalam dirinya, betapalah kita ini. Kerana, sifat munafik itu amat mudah berlaku. Cuba kita lihat satu contoh munafik yang boleh berlaku kepada kita. Kita selalu mengucapkan di dalam sembahyang yang maksudnya:
“Sesungguhnya, sembahyang aku, ibadah aku dan seluruh hidup dan mati ku ini adalah untuk engkau Tuhan Rabbul ‘alamin.”
Ini adalah janji dan ikrar kita kepada Allah swt di dalam sembahyang. Kemudian cuba kita suluh perbuatan lahir kita di luar sembahyang, apakah ia menepati janji kita di dalam sembahyang. Seandainya perbuatan kita di luar sembahyang tidak menepati janji itu serta tidak selaras dengannya, maka telah berlakulah sifat munafik dalam diri kita. Sebab itu, sepatutnya, hendaklah kita lebih risau tentang diri kita daripada kita merisaukan tentang diri orang lain. Sepatutnyalah kita lebih risau tentang kesalahan diri kita daripada kita risau tentang kesalahan diri orang lain. Mana-mana yang boleh kita baiki kesalahan diri orang lain itu, kita cubalah baiki dengan penuh kasih sayang. Tetapi, kalau tidak boleh, maka hendaklah kita doakan dia.
Sikap seperti inilah yang susah hendak kita lakukan. Jadilah, kalau kita dapat menceritakan sikap orang-orang soleh zaman dahulu, lebih-lebih lagi sikap para-para sahabat, yang bukan sahaja soleh tetapi adalah bertaraf mukarrobin. Sedikit kesalahan pun walau tidak jatuh kepada dosa, mereka sudah merasakan satu bebenan yang berat. Hal ini pernah juga diriwayatkan pada Saidina Umar setelah beliau menjadi Khalifah. Suatu hari, beliau pernah bertanya kepada seorang sahabatnya. Katanya, “Wahai sahabat, adakah kamu nampak apa-apa kesalahan pada diri aku?”
Sahabat-sahabat begitu jujur dan amat mengetahui hati Saidina Umar. Ertinya, kalau mereka memperkatakan tentang kesalahannya, dia tidak akan marah. Maka itu, sahabat tadi menjawab, “Aku lihat, engkau makan dua jenis lauk.” Rupa-rupanya, itu yang hendak disampaikan oleh sahabat tadi. Kalau pada diri kita, makan dua jenis lauk itu tidak ada kena mengena dengan kesalahan yang hendak kita ketahui. Tetapi bagi Saidina Umar, teguran sahabat tadi dirasakannya tersangat berat hinggakan selepas itu dia tidak lagi makan dua jenis lauk.
Kalau kita lihat dari segi hukum, makan dua jenis lauk tidaklah merupakan satu perbuatan dosa, tetapi sudah memang begitu sifat orang mukarrobin. Bagi mereka, ‘kebaikan yang dilakukan oleh orang soleh adalah merupakan satu kesalahan’. Nampaknya, kita jauh dari itu. Bukan sekadar dua jenis lauk saja, malah kadang-kadang sampai lima jenis yang terdiri pula dari ayam goreng, sayur-sayur, dua tiga jenis ikan dan sebagainya, itupun kita tidak ada selera hendak makan. Masih lagi kita rasakan susah hati mengadap hidangan seperti itu. Walau bagaimana pun apa boleh buat, kita terpaksa ceritakan juga perbuatan-perbuatan orang soleh walau pun kita tidak boleh melakukannya. Mudah-mudahan dengan kita menceritakan kisah-kisah orang soleh itu menjadi rahmat.
Begitulah sikap Saidina Umar yang digambarkan di dalam sejarah. Walau pun begitu tinggi kedudukannya kalau dibandingkan dengan para-para sahabat yang lain, namun dia masih lagi bertanya kepada sahabat-sahabat akan kesalahan dan kecacatan dirinya agar dia dapat mengatahui dan membuat pembaikan serentak. Kita mungkin tidak boleh berbuat begitu. Tetapi, jadilah kalau kita boleh ambil tahu tentang kesalahan diri kita dan kita senaraikan kesalahan-kesalahan itu. Mudah-mudahan kita boleh mengawasinya di satu hari nanti.
Dapatlah kita fahamkan di sini bahawa, orang-orang yang tinggi kedudukannya di sisi Allah swt iaitu orang yang paling hampir dengan Allah, mereka merasakan yang mereka belum berbuat apa-apa terhadap Allah swt walaupun sembahyang, puasa mereka banyak, kuat berjuang dan berjihad, besar pengorbanan dan sebagainya. Walau pun mereka banyak berbuat baik, tetapi mereka merasakan belum berbuat baik. Kata Imam Ghazali rahimahullahu ta’ala, inilah tanda orang yang cerdik. Mereka tidak sempat hendak memikirkan kebaikan dan amal bakti yang telah mereka buat. Sebaliknya, mereka lebih merasakan yang mereka belum berbuat apa-apa. Mereka merasakan seolah-olah mereka banyak membuat kesalahan daripada kebaikan.
Sepekara lagi yang dapat kita fahamkan di sini ialah, bahawa orang yang cerdik itu selalu bimbang terhadap dirinya. Dia lebih bimbang terhadap kesalahan-kesalahan yang dilakukannya daripada kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh orang lain. Sebab itu, dia sangat bergembira kalau ada orang lain yang boleh menunjukkan kepadanya akan kesalahan-kesalahan dirinya. Tetapi dalam pengalaman hidup kita sehari-hari, hal ini tidak berlaku. Sebaliknya orang yang boleh menunjukkan akhlak-akhlak keji pada diri kita, orang itulah yang paling kita musuhi. Dialah orang yang akan kita umpat dan kita kata, kalau tidak didepannya, kita akan kata di belakangnya.
Sifat-sifat akhlak yang keji atau sifat-sifat mazmumah itu, ia adalah ibarat seekor ular yang bisa atau laksana kala jengking yang bisa. Cuba kita bayangkan, bagaimana rasanya, kalaulah seekor ular yang bisa melengkar dalam baju kita atau seekor kala jengking menyorok di dalam kocek kita sedangkan kita tidak nampak. Tiba-tiba, ada seorang sahabat kita nampak lalu dia memberi tahu kepada kita. Sudah tentu sekali kita berasa syukur kerana ada orang yang memberitahu kita akan bahaya itu. Tentu kita nak ucapkan tahniah kepadanya serta kita rasa hendak beri hadiah kepadanya. Apabila kita dapat tahu saja, ada bahaya ular atau kala di dalam baju kita, cepat-cepat kita membuka baju itu dan membuangnya. Pendek kata, kita tidak fikir apa-apa lagi, malah tak sempat pun hendak menengoknya, melainkan terus bertindak segera kerana benda yang di dalam baju kita itu amat merbahaya sekali. Kita takut kalau-kalau belum sempat dibuang, ia sudah menggigit kita.
Begitu sekali takutnya kita akan bahaya digigit ular bisa atau kala jengking. Gigitan ular atau kala, kalau pun sakit mungkin dalam beberapa hari saja. Paling-paling teruk, hanya menjelang mati. Apabila mati, tamatlah sakit itu. Ertinya, ada merbahaya yang tidak berpanjangan, kita telah bertindak spontan membasminya apabila orang memberitahu kepada kita. Tetapi, mengapakah ada bahaya yang berpanjangan yang mana ia tidak selesai setelah kita mati, kita tidak ambil peduli apabila ada orang memberitahu kepada kita. Bahaya yang berpanjangan itu ialah akhlak yang jahat atau budi pekerti yang buruk. Penyakit ini, deritanya tidak selesai di dunia, malah sesudah mati akan membawa kita terjun ke dalam neraka. Sepatutnya, apabila ada orang memberitahu kepada kita akan kecacatan ini yang mana ia adalah bahaya, lebih-lebih lagilah kita bertindak segera. Sepatutnya, orang yang memberitahu kita itu menerima tahniah dari kita dan banyak-banyak kita berterima kasih kepadanya. Tetapi ini tidak berlaku dalam pengalaman hidup kita, sebaliknya orang yang memberitahu itulah yang paling kita marah dan yang amat kita sakit hati. Akhirnya, mazmumah yang ada pada kita tidak kita usaha membuangnya, tetapi kita tokok tambah dengan mencaci nista orang yang memberitahu kepada kita itu. Kita telah mendendami orang itu. Ada peluang, kita kata pula kelemahannya. Ini adalah berlawanan dengan ajaran Islam. Walau apa pun orang kata kita, kita tidak boleh membalas dengan kata cerca walau pun memang orang itu sendiri ada kecacatan yang boleh kita kata. Kata Imam Ghazali, orang yang tidak boleh menerima nasihat dan teguran orang lain, itu menandakan hatinya sudah keras.