Tuesday, January 04, 2005

 

AKIBAT LEMAH IMAN DAN PUTUS UKHWAH

Mengapa sepasang kekasih yang bercinta sebelum berkahwin penuh kemesraan, bercakap pun lemah-lembut dan kalau berlaku kesilapan kecil mudah sekali dimaafkan, tetapi lain pula jadinya setelah berkahwin?

Mengapa selepas berkahwin rumahtangga sentiasa di alam pergeseran? Kadang-kadang dalam sehari berulang kali bertengkar. Pertelagahan terus berlarutan walaupun telah memperolehi anak dan kadang-kadang sampai beranak sepuluh pun masih tak habis-habis pertelagahan.

Hari ini pertengkaran dan pergeseran suami isteri seolah-olah menjadi lumrah hidup berumahtangga. Kadang-kadang muka pun dan mula berkedut, namun masih belum menemui jalan penyelesaian ke arah rumahtangga aman masih belum ditemui. Akhirnya anak-anak sendiri (ada diantaranya yang telah dewasa) meluat dengan perangai buruk kedua orang tua mereka.

Tidak payah kita memerah otak untuk mencari sebab mengapa hal ini boleh berlaku. Tidak perlu ditulis kertas kerja demi kertas kerja untuk mencari rumusan tentang punca-punca berlakunya pergeseran itu. Punca utamanya ialah kerana hilang rasa kasih sayang dan tidak adanya rasa ukhwah antara suami isteri. Dan putusnya ukhwah itu adalah kerana ketandusan iman.

Tandusnya iman menyebabkan baik suami mahu pun isteri tidak lagi berusaha untuk bersifat seperti sifat orang mukmin, yang takutkan Allah, takut kepada neraka Allah dan rindu kepada syurga Allah. Bila iman longgar, tiada lagi rasa takut dengan dosa, tidak lagi takut dengan kemurkaan Allah. Isteri sudah berani menengking suami, tidak lagi taat kata-kata suami, tidak hormat pada suami hingga jadilah dia isteri yang derhaka. Suami pula sudah mula melalaikan tanggungjawabnya sebagai ketua dalam rumahtangga, tidak memberi didikan sepenuhnya kepada isteri.

Akibat dari itu, rumahtangga tidak lagi menjadi syurga bagi suami isteri, malah bagi sesetengahnya rumah sendiri dianggap neraka lantaran terlalu kerap berlakunya pergaduhan. Perkara yang kecil diperbesar-besarkan hingga mengakibatkan satu perselisihan besar. Pinggan mangkuk, periuk belanga terbang melayang dan peluru berpandu terpancar dari mulut masing-masing. Isteri kata suami yang salah dan suami pula tuduh isteri yang salah.

Tuduh-menuduh tidak membawa kesudahan hinggakan perkara-perkara yang berlaku sebelum kahwin pun diungkit kembali. Terbitlah kata-kata: Bukan aku yang hendakkan kamu tetapi kamulah yang tergila-gilakan aku.

Begitu pedih sekali kata-kata yang keluar akibat nafsu jahat yang tidak dibendung. Akhirnya runtuhlah rumahtangga yang dibina atas dasar cinta sama cinta yang tidak mengikut lunas-lunas keIslaman.

Begitulah yang sering berlaku bila tiada iman. Kalau iman kukuh, kesilapan dan pergeseran yang besar akan dianggap kecil sahaja. Mudah sahaja diselesaikan dengan cara bermaaf-maafan. Dan kalau kesilapan kecil langsung tidak dirasakan apa-apa. Rumahtangga yang terbina dengan ukhwah dan kasih sayang, akan dihiasi dengan percakapan penuh kemesraan dan penuh hormat. Masing-masing mengharapkan keredhaan Allah semata-mata.

Jika ada perkara-perkara yang tidak menyenangkan hati berlaku, maka suami-isteri yang beriman akan segera merujuk kepada Allah, serta mengharap sepenuhnya bantuan-Nya. Masing-masing takut melakukan kesalahan kelak. Natijahnya, rumahtangga penuh aman damai.

Bagi mereka yang beriman akan menginsafi bahawa setiap bala dan ujian yang menimpa diri pasti ada sebab musababnya. Dan tidak ada seorang manusia pun yang dapat lari dari ujian. Lebih tinggi taraf iman seseorang itu lagi banyaklah ujian yang Allah datangkan. Sabda Rasulullah saw bermaksud:

Ujian yang paling berat akan ditimpa pada Nabi-Nabi kemudian auliya-auliya, diikuti ahli-ahli sufi dan akhirnya disukat mengikut iman masing-masing.

Porak perandanya ruamhtangga adalah kerana jiwa suami isteri dikongkong oleh kehendak nafsu. Kehendak nafsu yang berbagai-bagai itulah saling cabar mencabar antara satu sama lain. Nafsu menimbulkan sifat mazmummah seperti bakhil, sombong, bersangka buruk, hasad-dengki, suka mengumpat, tidak mendengar nasihat, tidak taat suami dan banyak lagi.

Kepada pasangan suami isteri yang sering bertelagah antara satu sama lain, hendaklah insaf bahawa pertelagahan tidak akan berlaku sekiranya kita memiliki iman yang kukuh. Hanya mereka yang beriman saja akan sedar mengapa Allah berbuat begitu. Berkat sabar, redha dengan ujian itu pasti akan mendapat salah satu dari dua perkara. Iaitu samada ia merupakan penghapusan dosa atau kasih sayang Allah yakni ketinggian darjat di syurga.

Allah berjanji akan memberi pertolongan kepada mereka yang bersungguh-sungguh bermujahadah, firman-Nya yang bermaksud:
Orang yang bermujahadah (berjihad) pada jalan Kami, akan Kami tunjukkan jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar berserta dengan orang-orang yang berbuat baik.

Tetapi jika kelemahan iman dan nafsu telah menjadi raja dalam diri, maka tidak hairanlah ada di antara hukum Tuhan yang patut dilaksanakan menjadi pertentangan. Contohnya, terdapat isteri yang memberi alasan suaminya kahwin lagi dan menyebabkan mereka bergaduh selalu. Bila peristiwa begini berlaku dalam kehidupan masyarakat, maka ramailah yang menuduh hukum Allah yang membenarkan suami berkahwin lebih dari satu, tidak dapat dilaksanakan.

Sebenarnya bukan poligami yang mengakibatkan runtuhnya sesebuah rumahtangga, bahkan suami yang memiliki isteri seorang pun sering kita dengar berperang yang akhirnya berkesudahan dengan pecahnya rumahtangga. Apabila pergaduhan menjadi semakin tegang, fikiran pun semakin buntu. Maka sebutan talak mula menjadi mainan. Si isteri terpekik-pekik meminta dicerai manakala si suami pula sewenang-wenangnya melafaskan talak tanpa memikirkan risiko kemudiannya.

Kepada mereka-mereka yang bercita-cita ingin mendirikan rumahtangga ataupun yang sedang menghadapi berbagai-bagai dilema rumahtangga hendaklah ingat, talak adalah perkara halal yang paling dibenci oleh Allah swt. Perbuatan isteri yang suka meminta cerai mengakibatkan bergegarnya tiang Arasy dan diharamkan mencium bau syurga. Untuk lebih memahami syarat-syarat penceraian sila baca artikel saya dahulu dalam bab syarat-syarat penceraian.

Tapi kiranya benar si isteri mendapati bahawa suaminya memang benar-benar curang atau menentang dan memperkecil-kecilkan hukum Allah maka bolehlah dia menuntut cerai. Itu pun dia mesti merujuk dahulu ke pihak kadi agar dipertemukan jalan penyelesaian yang sebaik-baiknya di antara keduanya.

Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?