Wednesday, December 22, 2004

 
NASIHAT UNTUK RAJA

Umum mengetahui bahawa hati itu adalah raja dalam diri. Raja inilah yang berkuasa menentukan gerak-geri dan perbuatan seseorang. Baik buruk seseorang maka semuanya berpunca dari raja ini. Ini dikuatkan lagi dengan hadis Rasulullah yang berbunyi, “Di dalam diri anak Adam itu ada seketul daging. Jika baik daging itu, baiklah seluruh anggota badan. Jika jahat daging itu, jahatlah seluruh anggota badan. Ketahuilah daging itu adalah hati.”

Ibarat sebuah negara, hati itu adalah raja atau pemimpin dalam negara. Maka anggota seperti tangan, kaki, mulut dan mata, semuanya mengikut perintah raja. Kalau A kata raja, A jugalah kata mereka. Anggota-anggota ini tidak membantah, sentiasa mengikut arahan dengan penuh taat dan setia. Malah akal pun turut serta menerima arahan dari raja. Akal ini, dia seperti perdana menteri, bila menerima sesuatu arahan dari raja, dialah yang merancang, menilai, dan membuat pilihan. Persoalan bagaimana nak laksana, bila masanya, di mana, semuanya adalah kerja akal. Tetapi, seperti diperkatakan tadi, akal ini bulat 100% mengikut arahan raja. Dia tidak memandai-mandai dengan keputusannya melainkan setelah menerima arahan tersebut. Begitulah “mekanisma” bagaimana sebuah pemerintahan kerajaan diri berjalan.

Namun, sebuah kerajaan tidak dapat lari daripada menghadapi ancaman musuh dan musuh yang terbesar bagi raja dan rakyatnya adalah nafsu. Nafsu sentiasa mengintai-intai dan mencari peluang untuk menumpaskan raja. Bagi nafsu, satu kejayaan baginya jika dia dapat mengalahkan raja seterusnya mengambil alih pemerintahan raja. Bagi mereka yang hatinya tidak kuat terhubung dengan Tuhan, mudah sahaja ditumpaskan oleh nafsu. Sifirnya mudah, kalau raja kuat, nafsu jadi lemah. Kalau nafsu kuat, raja pula lemah. Tak pernah berlaku, dua-dua kuat atau dua-dua lemah. Bila nafsu menang dan ambil alih pemerintahan, raja akan jadi boneka. Raja duduk di situ juga tapi raja dipergunakan oleh nafsu. Jadilah rakyat seperti mulut, tangan dan kaki mentaati raja boneka. Apa sahaja arahan yang keluar, walaupun dari raja, tetapi hakikatnya adalah percaturan nafsu. Sudah tentu arahan yang keluar tersebut adalah bersifat jahat. Memang nafsu begitulah kerjanya sepertimana yang telah disebut di dalam Al-Quran: “Sesunggunya nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan”.

Selagi raja tidak memperkuatkan dirinya, selagi itulah dia akan sentiasa menjadi boneka. Dia akan sentiasa dipergunakan oleh nafsu. Bagi raja seperti ini, nasihat untuknya adalah kembali kepada Tuhan dan baiki hubungan denganNya. Langkah pertama adalah mengenal Tuhan. Bila hati sudah kenal Tuhan, otomatik hati akan cinta dan takutkan Tuhan. Bila ini berlaku, barulah kuat hubungan di antara hati dengan Tuhan. Di waktu itu Tuhan memainkan perananNya menjadikan hati sebagai wakilNya. Kerajaan diri di waktu itu diperintah oleh wakil Tuhan. Dan hati itulah yang memainkan peranan sebagai wakil Tuhan. Dia akan berbuat seperti mana yang Tuhan mahu. Dia akan berbuat sesuai dengan syariat Tuhan. Bila ini terjadi, tidak ada peluang buat nafsu lagi untuk merajai. Nafsu menjadi lemah dan akan menyerah kalah. Anggota badan sebagai rakyat akan menjadi baik. Kerajaan diri aman makmur dan mendapat keampunan Tuhan.

Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?