Friday, December 17, 2004

 

Fahami Kerja Tuhan

Kerja Tuhan hanya boleh difahami oleh orang yang celik mata hatinya. Ia tidak boleh difahami hanya dengan menggunakan mata kepala atau mata akal. Orang yang celik mata hatinya ialah orang yang berjaya membersihkan hatinya daripada dosa. Yang berjaya membenteng diri daripada pengaruh nafsu dan syaitan. Dalam kehidupan kita seharian, berbagai kerja Tuhan yang terjadi ke atas diri kita. Ia tidak sepatutnya dibiarkan berlalu begitu sahaja. Ia perlu difahami untuk kita faham maksud tersirat Tuhan dalam melakukan kerjaNya terhadap kita.
Jika tidak, Tuhan buat sesuatu, maksudnya lain, tetapi kita pula faham lain. Kelak, akan timbul berbagai masalah dalam diri kita. Yang ruginya adalah kita, sebab tidak mahu memahami kerja Tuhan. Bahayanya, ia boleh membawa kita terjerumus ke neraka. Wal’iyazubillah. Itulah sebabnya, untuk memahami kerja Tuhan ini, perlu kepada ilmu. Perlu kepada panduan dan didikan. Juga perlu kepada hikmah. Dan ada pula guru yang memimpin. Tuhan berfirman, “Barangsiapa yang diberi ilmu hikmah, sesungguhnya dia diberi kebaikan yang banyak.”
Di sini dibawakan satu contoh. Dalam mendapat harta, orang yang faham kerja Tuhan, tak sama tindakannya dengan orang yang tidak faham. Orang yang betul memahami kerja Tuhan, akan faham, Tuhan beri harta ini adalah nikmat pemberianNya supaya ia digunakan di jalan Tuhan. Jadi, harta itupun dikorbankan di jalan Tuhan, diagih-agihkannya untuk perjuangan Islam. Disedekahkan pula kepada fakir miskin dan orang yang memerlukan. Begitu sekali dimanfaatkan harta tersebut. Berlainan pula dengan orang yang tidak memahami kerja Tuhan.
Harta bukan dikeluarkan untuk jalan Tuhan. Tetapi digunakan lebih kepada kepentingan diri. Ia dijadikan timbunan atau dibelanjakan pada tujuan maksiat. Harta dijadikan lambang kemewahan dan kemegahan. Jadilah dua orang ini, seorang mendapat kasih sayang Tuhan, seorang lagi mendapat kemurkaan Tuhan. Mereka berdua mendapat benda yang sama, iaitu harta, tetapi natijahnya berlainan. Ini ada hubungkait dengan soal memahami kerja Tuhan.

Ambil contoh lain pula, bila Tuhan beri sakit. Sudah pasti Tuhan tidak memberikan sakit itu sia-sia sahaja. Ada maksud Tuhan di situ. Supaya dengan sakit, kita lebih dekat dengan Tuhan. Dengan sakit, ia boleh menghapuskan dosa-dosa kita. Tapi, syaratnya, kita pandai membaca maksud Tuhan itu. Kita memahami kerja Tuhan itu dan boleh terima apa yang Tuhan lakukan kepada kita. Sesorang yang mendapat sakit, boleh jadi mendapat kasih sayang Tuhan dan boleh jadi juga mendapat kemurkaan Tuhan. Ini semua bergantung sejauhhmana dia memahami kerja Tuhan. Kalau dengan sakit, dia boleh redha dengan pemberian Tuhan itu, boleh mendekatkan diri dengan Tuhan dengan cara bertaubat serta berzikir, menganggap semua ini kifarah atau balasan Tuhan terhadap dosa-dosanya; nescaya di situ dia mendapat kasih sayang Tuhan. Dalam sakit, dia mendapat rahmat. Berbeza, kalau dia tidak redha dengan sakitnya, berputus asa pula dengan Tuhan, malah tidak mahu bertaubat, maka sudah tentu dia mendapat kemurkaan Tuhan. Dalam sakit, dia sebenarnya mendapat bala’.

Begitulah serba ringkas panduan untuk kita, agar kita dapat memahami sebaik-baiknya kerja Tuhan. Moga-moga dengan ini, kita dapat menjadi hamba Tuhan yang diredhaiNya. Maha suci Tuhan, sesungguhnya Tuhan itu tidak zalim, tetapi manusialah yang menzalimi diri mereka sendiri.

Sumber: www.rufaqa.com


Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?