Wednesday, November 03, 2004
Lailatul Qadar
Lailatul Qadar adalah hadiah dari Tuhan kepada hambaNya yang berjaya di bulan Ramadhan. Ganjarannya pahala menyamai ibadah 1,000 bulan. Tidak semua yang akan mendapat hadiah tersebut. Hadiah hanya di beri kepada yang berjaya. Macam orang yang menduduki peperiksaan, tak semua akan berjaya. Dan hanya yang berjaya sahaja diberi hadiah. Samalah di sini untuk yang beribadah di bulan Ramadhan. Tak semua akan mendapat hadiah Lailatul Qadr. Ia hanya diberi kepada mereka yang berjaya sepanjang Ramadhan. Ramai orang beribadah; puasa, solat, baca Quran, sedekah dan terawih, mengejar lailatul Qadar tetapi mereka tertipu. Mereka menyangka mereka akan dapat hadiah. Tidak, kerana hadiah hanya kepada orang yang berjaya. Ia adalah rahmat Tuhan kepada orang yang berjaya baiki diri. Iaitu orang yang ibadah mereka ada roh.
Bukan sekadar lahir beribadah, tetapi ianya dihayati dan dijiwai. Ibadah mereka berbuah yakni mendatangkan kesan kepada peribadi seterusnya meningkatkan taqwa. Jadi, janganlah kita mengejar lailatul Qadar seolah-olah kita dah dapat hadiah tersebut. Belum lagi. Berbuatlah ibadah kerana Tuhan. Soal hadiah jangan difikirkan. Itu hanya fadhilat. Itu hak Tuhan menentukan. Takut-takut nanti kita beribadah bukan kerana Tuhan tetapi kerana nak dapat hadiah Tuhan. Mana lebih besar? Tuhan atau hadiahNya? Oleh itu sesama kita merenung apakah selama ini kita sudah berbuat semata-mata kerana Tuhan? Sudah berjayakah Ramadhan yang kita lalui di tahun ini?